LELAKI berjalan melepasi televisyen yang memaparkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP
LELAKI berjalan melepasi televisyen yang memaparkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP
AFP

Seoul: Ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih bersidang membincangkan tindakan Korea Utara ke atas Jepun, negara terpencil itu sekali lagi mengejutkan dunia apabila melepaskan lagi dua peluru berpandu balistik, hari ini.

Pelancaran itu adalah yang keenam dalam tempoh kurang dua minggu dan dibuat dua hari selepas Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik jarak pertengahan ke arah Jepun hingga menyebabkan Tokyo mengeluarkan amaran pemindahan penduduk.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan dari kawasan Samsok di Pyongyang ke arah Laut Timur juga dikenali sebagai Laut Jepun.

"Tentera kami meningkatkan pemantauan dan pengawasan serta mengekalkan kesediaan sepenuhnya dalam penyelarasan dengan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Pihak berkuasa pantai Jepun juga mengesahkan pelancaran dua peluru berpandu balistik itu dengan Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, pihaknya tidak boleh menerima serangan terbaharu ini.

"Walaupun dalam tempoh singkat ini sejak akhir September, ini adalah kali keenam.

"Ini sama sekali tidak boleh diterima," katanya.

Selasa lalu, Pyongyang melancarkan ujian yang didakwa peluru berpandu jenis Hwasong-12 yang mungkin menempuh jarak mendatar paling jauh dari mana-mana ujian Korea Utara sebelum ini, hingga menyebabkan AS mengadakan mesyuarat tergempar dengan Majlis Keselamatan PBB.

Kementerian Luar Korea Utara mengeluarkan kenyataan hari ini mengecam pelaksanaan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dan menuduh AS sebagai pihak yang menimbulkan ancaman serius kepada kestabilan keadaan di semenanjung Korea dengan penempatan semula kapal pengangkut pesawat.

Sementara itu, China menyalahkan AS kerana membuat provokasi mengenai pelancaran rejim Kim Jong Un itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:33 AM