PEJALAN kaki melihat berita mengenai Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Tokyo yang dipercayai mendarat di Lautan Pasifik, zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun, kira-kira 3,000 km Timur Jepun. FOTO EPA
PEJALAN kaki melihat berita mengenai Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Tokyo yang dipercayai mendarat di Lautan Pasifik, zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun, kira-kira 3,000 km Timur Jepun. FOTO EPA
Agensi

Tokyo: Jepun mengarahkan rakyatnya mencari perlindungan sementara di bawah tanah atau dalam bangunan selepas Korea Utara melepaskan peluru berpandu di pantai timur negara itu, hari ini.

Menurut laporan Badan Penyiaran Jepun (NHK), peluru berpandu itu melintasi Jepun sebelum mendarat di Lautan Pasifik.

Kerajaan Jepun dengan pantas memberi amaran kepada rakyatnya berlindung selepas pelepasan peluru berpandu itu disahkan Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Ciapan kecemasan oleh Ishikari City, Hokkaido, berulang kali mengarahkan orang ramai berlindung.

"Maklumat Perlindungan Awam 4 Oktober, 7.27 mengumumkan pelancaran peluru berpandu.

"Peluru berpandu itu dipercayai dilancarkan dari Korea Utara. (Sila) Pindah di dalam bangunan atau bawah tanah," ciap pengumuman itu dalam Twitter.

Catatan dari akaun Twitter Kediaman Perdana Menteri (Maklumat Pengurusan Bencana dan Krisis) kemudian mengesahkan pada 7.42 pagi peluru berpandu itu tidak menghentam tanah besar Jepun, tetapi mendarat di Lautan Pasifik.

"Peluru berpandu sebelum ini dipercayai sudah melepasi Lautan Pasifik sekitar 7.29 pagi.

"Jika mendapati sesuatu yang mencurigakan, jangan dekatinya dan segera hubungi polis atau bomba," katanya.

Laporan Jepun menyatakan, operasi perkhidmatan bullet train turut dihentikan apabila berita mengenai pelancaran peluru berpandu mula tersebar.

Siren juga kedengaran di negara itu, sebagai amaran supaya orang ramai berlindung.

Ketua setiausaha kabinet Jepun seterusnya mengesahkan dalam taklimat media, peluru berpandu itu melepasi negara itu sebelum mendarat di laut.

Katanya, beliau kini akan mengadakan perbincangan dengan sekutu Jepun dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung tindakan pencerobohan itu.

Pelancaran terbaru itu adalah pelancaran kelima Pyongyang dalam tempoh seminggu.

di tengah-tengah ketegangan berikutan tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan anti-kapal selam dengan tentera laut Jepun, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 12:00 PM