MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Suntikan vaksin Covid-19 kekal menjadi syarat kelulusan bagi permohonan baharu pas jangka panjang dan pas kerja di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu.

MOH dalam satu kenyataan, memaklumkan langkah itu diambil bagi mengekalkan kadar vaksinasi yang tinggi dalam populasi di Singapura, di samping menyokong pembukaan semula sektor ekonomi yang selamat dan meminimumkan gangguan perniagaan.

Selain itu, menurut MOH, bukti vaksinasi juga diperlukan untuk tujuan pembaharuan pas kerja sedia ada bagi pemegang Pas S dan Permit Kerja dalam sektor pembinaan, limbungan marin dan pemprosesan atau mereka yang tinggal di asrama pekerja.

Langkah itu dilihat penting memandangkan tapak pembinaan dan asrama pekerja ialah kawasan berisiko tinggi mengalami penularan penyakit.

Bagaimanapun, bukti vaksinasi tidak lagi diperlukan untuk tujuan pembaharuan pas kerja lain.

Keperluan menyemak semula vaksinasi untuk tujuan pembaharuan pas kerja akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2022, dan orang ramai boleh merujuk laman sesawang Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk butiran lanjut.

Sementara itu, MOH memaklumkan semua pelancong yang tidak lengkap vaksin Covid-19, serta memasuki Singapura mulai 29 Ogos 2022 tidak lagi diminta menjalani kuarantin di rumah (SHN) selama tujuh hari selepas ketibaan, atau tertakluk kepada ujian PCR.

Bagaimanapun, mereka tetap diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19, serta negatif ujian prapelepasan dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Singapura.

Pelawat Jangka Pendek (STV) yang tidak lengkap vaksinasi dikehendaki membeli insurans perjalanan Covid-19.

Pada masa ini, pemegang Pas Jangka Panjang (LTPH) dan STV berusia 13 tahun ke atas yang tidak lengkap vaksinasi dikehendaki memohon kelulusan untuk memasuki Singapura.

Keperluan itu juga akan ditarik balik mulai 29 Ogos 2022, menurut kenyataan itu.

Memandangkan LTPH dijangka tinggal di Singapura untuk tempoh lebih lama, mereka dikehendaki memenuhi semua keperluan Langkah Pengurusan Selamat (VDS) selepas tiba di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:42 AM