GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Empat individu termasuk seorang doktor di Uttar Pradesh, India, ditahan kerana terbabit dengan kematian seorang mangsa rogol, kata polis pada Isnin.

Mangsa berusia 22 tahun itu meninggal dunia ketika menjalani prosedur menggugurkan kandungan pada 12 Ogos lalu.

Suspek adalah adalah seorang pemandu berusia 28 tahun, rakannya, selain pegawai kanan pusat perubatan swasta serta seorang doktor.

Penguasa polis, Suryakant Tripathi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan untuk menggugurkan kandungan.

Katanya, polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada bapa saudara mangsa sebelum siasatan lanjut dijalankan.

Wanita itu bertemu dengan pemandu itu ketika tinggal di rumah bapa saudaranya sepanjang mangsa melanjutkan pengajian, sebelum dia dirogol

"Mangsa disahkan mengandung lima bulan dan mahu menggugurkan kandungan dengan bantuan suspek.

"Dalam laporan polis juga, bapa saudara wanita itu mendakwa lelaki terbabit turut merogol mangsa sehingga mengandung," katanya.

Mangsa kemudian keluar dari rumah berkenaan pada 12 Ogos lalu sebelum bertemu lelaki terbabit yang kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, ketika prosedur dijalankan, mangsa meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Menurut polis, suspek cuba menyembunyikan mayat mangsa namun tindakan itu berjaya digagalkan pihak berkuasa.

Polis sudah menyerahkan mayat mangsa untuk membolehkan proses bedah siasat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 11:46 AM