FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Cinta itu buta. Buktinya, seorang remaja perempuan dari Sualkachi, Assam, India, mendakwa saggup menyuntik dirinya dengan darah diambil daripada teman lelakinya yang positif HIV .

India Today melaporkan, remaja perempuan itu sangat mencintai teman lelakinya hingga sanggup mempertaruhkan nyawanya.

Dia yang kini berusia 15 tahun berkenalan pada mulanya dengan lelaki berkenaan menerusi Facebook.

Teman lelakinya itu berasal dari Satdola di Hajo dan dikatakan positif HIV dan kini, mereka sudah menjalin hubungan cinta selama tiga tahun.

Menurut remaja perempuan itu, mereka berdua tidak dapat dipisahkan.

Dia juga mendakwa melarikan diri dengan teman lelakinya, malah tahu status kesihatan pasangannya yang positif HIV.

Remaja perempuan itu mendakwa mengambil darah teman lelakinya melalui picagari dan menyuntiknya ke dalam badannya.

Sementara itu, polis Hajo menahan remaja lelaki dan perempuan itu dengan meletakkan mereka di bawah pemerhatian perubatan.

Lelaki itu mendakwa menggesa teman wanita itu supaya tidak menyuntik darahnya tetapi nasihat berkenaan diabaikan.

"Saya tidak peduli apa yang berlaku kepada saya.

"Saya cuma mahu dia dibebaskan secepat mungkin," kata remaja perempuan itu pula.

Difahamkan, remaja perempuan itu menjalani ujian sebanyak dua kali.

Dia mendakwa tidak pergi untuk mengambil laporan ujian pertama, dan mendapat keputusan negatif untuk kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 2:06 PM