KAPAL angkasa eksperimen boleh guna semula menggunakan roket pengangkut Long March-2F dilancarkan, Jumaat lalu. FOTO VCG
KAPAL angkasa eksperimen boleh guna semula menggunakan roket pengangkut Long March-2F dilancarkan, Jumaat lalu. FOTO VCG
Agensi

Beijing: China berjaya melancarkan kapal angkasa lepas eksperimen boleh guna semula menggunakan roket pengangkut Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut negara itu, Jumaat lalu.

Perkembangan itu dilaporkan Agensi Berita Xinhua dengan pakar menyifatkan langkah ke hadapan baharu untuk industri aeroangkasa China.

Selepas tempoh operasi dalam orbit, kapal angkasa akan kembali ke tapak pendaratan yang dirancang di China.

Ia akan menguji teknologi boleh guna semula dan teknologi perkhidmatan dalam orbit semasa misinya dengan menyediakan sokongan teknologi untuk penggunaan ruang yang selamat, kata Xinhua.

Pelancaran itu adalah misi ke-18 roket pengangkut Long March-2F.

Pakar dan pengulas televisyen mengenai isu ketenteraan dan aeroangkasa, Song Zhongping memberitahu Global Times, kapal angkasa lepas boleh guna semula mewakili trend dalam industri, justeru China perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kapal angkasa itu.

Katanya, kapal angkasa yang dilancarkan itu nampaknya mempunyai kapasiti operasi dalam orbit.

Pada September 2020, China menjalankan eksperimen penerbangan dua hari dengan kapal angkasa lepas yang boleh diguna semula menggunakan Long March-2F semula, sekali gus menandakan kejayaan teknologi.

Walaupun tiada maklumat rasmi dikeluarkan menunjukkan sama ada kapal angkasa lepas boleh guna semula itu adalah sama dengan yang dilancarkan dua tahun lalu, pelancaran terbaharu itu menarik perhatian media di seluruh dunia kerana ia dilihat sebagai langkah baharu China dalam R&D kapal angkasa jenis baharu.

Ramai membuat spekulasi mengenai kemungkinan China menggunakan kapal angkasa untuk tujuan ketenteraan pada masa hadapan.

Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) sering menggembar-gemburkan dan memburuk-burukkan kejayaan teknologi China sebagai ketenteraan kerana ia melihat semua kejayaan oleh negara bukan Barat sebagai ancaman.

Ini bertujuan untuk mengekalkan monopoli teknologi yang tidak adil kepada negara lain.

Skuadron Pertahanan Angkasa Lepas ke-18 Angkatan Angkasa AS juga menjejaki kapal angkasa China yang dilancarkan berkenaan, menurut SpaceNews.com, portal berita maklumat industri angkasa dan satelit global yang berpangkalan di AS.

Pada Oktober 2021, Financial Times menerbitkan artikel bertajuk 'Ujian China terhadap keupayaan ruang angkasa baharu dengan peluru berpandu hipersonik pada Ogos' yang menjangkakan China menggunakan ruang angkasa untuk tujuan ketenteraan.

Mengulas isu itu, jurucakap Kementerian Luar, China Zhao Lijian berkata, ujian dalam laporan Financial Times itu sebenarnya adalah ujian rutin teknologi untuk menggunakan semula kenderaan angkasa.

Katanya, ujian terbabit bertujuan untuk mengurangkan kos penggunaan kenderaan angkasa dan boleh menyediakan lebih banyak langkah ke arah kos rendah untuk penggunaan ruang selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:49 AM