FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Selepas 54 tahun mendirikan rumah tangga, satu pasangan warga emas di India menyambut kelahiran pertama anak mereka, baru-baru ini.

Ia menerusi kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Peristiwa menggembirakan itu berlaku di Rajasthan Alwar dengan doktor mendakwa hanya satu kes membabitkan kelahiran istimewa di negeri itu.

Menerusi rawatan IVF, ramai ibu bapa di dunia yang berusia 70 tahun ke atas berjaya menimang cahaya mata.

Gopichand, 75, adalah bekas tentera yang ditembak pada kakinya ketika perang Bangladesh dan menetap di kampung Nuhaniya, Jhunjhunu.

Katanya, dia amat gembira dengan kelahiran anaknya yang diberi nama Nainu Singh itu.

Difahamkan, Gopichand ke pusat fertiliti menerusi saudaranya sebelum isterinya, Chandravati Devi berjaya hamil selepas tiga kali percubaan mereka mendapatkan rawatan IVF.

Dr Pankaj Gupta berkata, kedua-dua anak dan ibu berada dalam keadaan baik.

Katanya, bayi itu dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram menerusi kaedah pembedahan.

"Hanya beberapa kes sahaja bayi dilahirkan ibu mereka yang lebih berusia di seluruh negara ini.

"Ini kes pertama di Rajasthan apabila lelaki berusia 75 tahun dan wanita 70 tahun mendapat anak," katanya.

Katanya, satu undang-undang diluluskan Parlimen baru-baru ini yang berkuat kuasa mulai Jun lalu.

Menurutnya, tiada pusat kemandulan IVF akan dapat memberikan rawatan kepada wanita dan lelaki berusia lebih 50 tahun.

Namun, pasangan itu bernasib baik kerana wanita itu hamil sebelum undang-undang itu berkuat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:12 AM