ROKET dilancarkan dari Gaza. FOTO EPA
ROKET dilancarkan dari Gaza. FOTO EPA
AFP

Gaza: Israel melakukan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza pada Sabtu dan sebuah kumpulan pejuang Palestin bertindak balas dengan serangan roket, dalam insiden terburuk sejak perang pada tahun lalu.

Pihak berkuasa kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas berkata, 10 orang terbunuh susulan pengeboman oleh tentera zionis, termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, manakala 75 yang lain cedera.

Israel menganggarkan bahawa operasi itu membunuh 15 pejuang Palestin.

Perdana Menteri Israel Yair Lapid berkata, pihaknya melaksanakan operasi itu susulan ketegangan selama beberapa hari di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza.

Israel dan kumpulan pejuang Palestin sudah mengesahkan bahawa seorang komander utama kumpulan Jihad Islam Palestin, Taysir al-Jabari, terbunuh pada serangan pada Jumaat.

Jihad Islam Palestin, berkata, pengeboman Israel adalah "pengisytiharan perang", sebelum ia melancarkan lebih 100 roket ke arah Israel.

Roket dan serangan Israel berterusan sepanjang malam, menimbulkan risiko ia akan mengulangi konflik 11 hari pada Mei 2021 yang menyebabkan kemusnahan teruk di Semenanjung Gaza dan penduduk Israel berlindung di kubu bawah tanah.

Siren serangan udara kedengaran sepanjang malam di beberapa lokasi di selatan dan tengah Israel, tetapi tiada laporan mengenai mangsa terkorban.

Pegawai di kawasan sempadan juga mengarahkan penduduk supaya berada berdekatan dengan tempat perlindungan, yang turut dibuka di Tel Aviv.

Tentera zionis pada mulanya mengesahkan sekurang-kurangnya 70 roket dilancarkan dari Gaza, dengan 11 daripadanya jatuh di dalam kawasan berkenaan, manakala yang lain jatuh di kawasan terbuka.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 8:21 AM