BENDARA Arab Saudi, UAE, Jordan dan AS berkibar sebagai menyambut kunjungan Joe Biden di Jeddah. FOTO Reuters.
BENDARA Arab Saudi, UAE, Jordan dan AS berkibar sebagai menyambut kunjungan Joe Biden di Jeddah. FOTO Reuters.
Reuters

Riyadh: Arab Saudi membuka ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan, yang secara tidak langsung membolehkan lebih banyak penerbangan keluar masuk ke Israel.

Keputusan itu turut dialu-alukan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang dalam rangka lawatan ke Arab Saudi, hari ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Udara Saudi (GACA) berkata, ruang udara negaranya dibuka kepada semua penerbangan yang memenuhi syarat, selaras konvensyen antarabangsa yang menekankan aspek tiada diskriminasi antara pesawat awam.

"Keputusan ini akan melengkapkan usaha menyatukan kedudukan kerajaan sebagai hab global yang menghubungkan tiga benua dan untuk meningkatkan sambungan udara antarabangsa," tambah GACA dalam kenyataan.

Melangkau ruang udara Arab Saudi telah menambah masa penerbangan dan meningkatkan pembakaran bahan api bagi perkhidmatan ke dan dari Israel.

Penasihat Keselamatan Rumah Putih AS, Jake Sullivan berkata, Biden mengalu-alukan keputusan Arab Saudi berhubung penarikan sekatan ruang udaranya.

"Keputusan ini membuka jalan bagi rantau Timur Tengah yang lebih bersepadu, stabil dan selamat, yang penting untuk keselamatan dan kemakmuran Amerika Syarikat dan rakyat Amerika, juga untuk keselamatan dan kemakmuran Israel," kata Sullivan dalam kenyataan.

Terdahulu pada Khamis, seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa tidak lama lagi Arab Saudi akan memberi akses kepada syarikat penerbangan Israel merentasi ruang udaranya tanpa halangan dan membenarkan penerbangan sewa terus bagi umat Islam dari Israel menunaikan haji di Makkah.

Arab Saudi sebelum ini tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengatakan apa-apa kemungkinan perkembangan dua hala (dengan Israel) ketika lawatan Biden. Israel juga mengelak daripada menyentuh aspek itu.

Meskipun tiada hubungan rasmi, Arab Saudi pada 2020 bersetuju membenarkan penerbangan Israel-Emiriah Arab Bersatu merentasi wilayahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 11:41 AM