FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Polis China menahan sepasang kembar perempuan kerana didakwa menukar pasport mereka untuk melancong ke luar negara sekurang-kurangnya 30 kali.

Portal Independent melaporkan, polis tempatan berkata, pasangan itu yang berasal dari bandar Harbin sedang disiasat, lapor Insider memetik Harbin Daily.

Salah seorang kembar perempuan itu yang diberi nama samaran Hong oleh pihak berkuasa, ingin ke Jepun untuk bersama suaminya.

Permohonan visanya bagaimanapun ditolak.

Dia kemudian meminjam pasport kakak kembarnya Wei (juga nama samaran diberikan oleh pihak berkuasa) untuk perjalanan itu.

Di samping itu, dia juga menggunakan pasport kembarnya untuk melakukan perjalanan antara China, Jepun dan Rusia sekurang-kurangnya 30 kali, kata polis.

Wei pula menggunakan pasport kakaknya untuk melancong ke Thailand, sekurang-kurangnya empat kali.

Polis tidak mendedahkan butiran mengenai identiti dan umur adik perempuan itu, lapor South China Morning Post.

Polis berkata, sejarah perjalanan ke luar negara adik-beradik itu dikesan awal tahun ini.

Wang Xiaodong, seorang pegawai polis tempatan dari jabatan pengurusan imigresen berkata, menjadi kesalahan untuk 'mengambil kesempatan daripada DNA anda' untuk melakukan perjalanan.

"Anda boleh bertanya dengan pihak imigresen tentang isu pasport anda, tetapi anda tidak boleh melancong ke luar negara menggunakan pasport orang lain," katanya.

Kes itu dibincangkan secara meluas di media sosial China, lapor Insider.

Hashtag 'kembar bertukar identiti dan pergi ke luar negara lebih 30 kali' mendapat lebih 360 juta tontonan di platform Weibo seperti Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:00 AM