KEADAAN di lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok. FOTO Reuters
KEADAAN di lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok. FOTO Reuters
AFP

Bangkok: Thailand menggugurkan peraturan proses prapendaftaran pelancong yang sebelum ini banyak menerima kritikan, selain memansuhkan pemakaian pelitup muka di luar rumah, susulan penularan Covid-19 yang semakin perlahan di negara itu.

Kelonggaran itu dilaksanakan selepas langkah serupa dilaksanakan jiran serantau dalam kalangan negara Asean.

Jurucakap pasukan petugas Covid-19 Thailand, Taweesin Visanuyothin berkata, pemakaian pelitup muka di luar adalah secara sukarela, tetapi masih disyorkan di kawasan sesak, tempat hiburan dan pengangkutan awam.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan negara itu akan mengumumkan butiran lanjut mengenainya, termasuk bila ia akan berkuat kuasa.

Pada 1 Julai, kerajaan negara itu juga menamatkan sistem 'Thailand Pass' yang sebelum ini memerlukan pelancong asing mendaftar, menunjukkan bukti vaksinasi dan insurans kesihatan apabila memasuki negara itu.

Langkah itu dilihat sebagai cubaan untuk meningkatkan ekonomi negara itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain kos sara hidup meningkat.

Lebih 1.6 juta ketibaan pelancong asing dalam tempoh enam bulan pertama 2022, dengan perbelanjaan pelancong asing dicatatkan pada THB99.7 bilion (RM12.46 bilion), menurut data kerajaan.

Secara perbandingan, kira-kira 40 juta pelancong asing yang melawat Thailand pada 2019, tahun terakhir sebelum wabak.

Kes harian Covid-19 di negara itu di bawah 3,500 kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan jumlah kematian di bawah 50 sehari selama sebulan.

Lebih tiga perempat daripada penduduk disuntik dengan dua dos vaksin, dengan lebih daripada 40 peratus mendapat dos penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 1:54 PM