GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

New Delhi: Polis India menembak mati dua penunjuk perasaan dan menahan lebih 130 individu lain yang menyertai perhimpunan jalanan susulan kenyataan seorang pegawai parti pemerintah yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Polis di Uttar Pradesh melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan sekurang-kurangnya satu perhimpunan selepas beberapa tunjuk perasaan diadakan di seluruh negeri utara India itu.

Pegawai kanan polis, Prashant Kumarberkata, orang ramai mengingkari arahan mereka untuk tidak berarak dari masjid ke pasar dan membaling botol serta batu yang pecah apabila polis cuba menyuraikan perhimpunan terbabit.

Katanya, seramai 136 individu ditahan membabitkan enam daerah di sekitar Uttar Pradesh.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan hingga mengakibatkan dua kematian," katanya kepada AFP.

Seorang penduduk Shabnam Ara berkata, pihak berkuasa memutuskan sambungan Internet di bandar itu dan mengenakan perintah berkurung berikutan keadaan masih tegang, hari ini.

"Kami berdoa untuk keamanan dan keharmonian," katanya.

Setiausaha kanan negeri, Avanish Awasthi berkata, kebanyakan protes berakhir dengan aman, namun penunjuk perasaan di beberapa bandar membaling batu ke arah polis dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang pegawai.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan melontar batu dan keganasan.

"Mereka yang terbabit menghasut keganasan tidak akan terlepas sama sekali," katanya. Bandar-bandar di sekitar India menyaksikan tunjuk perasaan besar-besaran Jumaat lalu apabila orang ramai membakar patung Nupur Sharma susulan komen dicetuskan jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) itu.

Pihak berkuasa juga memotong perkhidmatan internet pada hujung minggu di beberapa daerah berhampiran timur Kolkata, selepas penunjuk perasaan menyekat laluan kereta api dan menyerbu balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 4:35 PM