TAJ Mahal. FOTO AFP
TAJ Mahal. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Rahsia lebih 20 bilik di Taj Mahal masih belum terungkai selepas petisyen untuk membukanya ditolak Mahkamah Tinggi di India.

Taj Mahal ialah sebuah makam tepi sungai dibina oleh Maharaja Mughal Shah Jahan di bandar Agra, pada abad ke-17.

Ia sebagai lambang cinta kepada permaisurinya, Mumtaz yang meninggal dunia ketika melahirkan anak ke-14.

Ahli parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Khamis gagal dalam petisyen untuk mendapat kebenaran mahkamah bagi membuka puluhan bilik yang terdapat di monumen terkenal dunia itu.

Lebih 20 bilik di Taj Mahal itu 'kekal' berkunci dan petisyen itu dibuat kerana mahu mengetahui lebih lanjut sejarah asal pembinaan bangunan itu.

Rajneesh Singh memaklumkan kepada mahkamah beliau mahu mengesahkan dakwaan ahli sejarah dan ahli agama bahawa bilik itu menempatkan tempat suci kepada Shiva, tuhan bagi agama Hindu.

Monumen hebat ini dibina menggunakan bata, batu pasir merah dan marmar putih serta terkenal dengan kerja ukiran yang rumit menjadikan ia tarikan pelancong terbesar di India.

"Kita semua perlu tahu apa yang ada di sebalik puluhan bilik itu," katanya di mahkamah.

Banyak bilik yang masih kekal berkunci sehingga kini terletak di tingkat bawah tanah bangunan itu.

Pihak berkuasa terkemuka dalam seni bina Mughal dan pengarang kajian Taj Mahal, Ebba Koch melawat dan merakam gambar bilik dan laluan dalam monumen itu ketika penyelidikannya.

Bilik ini adalah sebahagian ruang bawah tanah bagi menghadapi musim panas.

Galeri di bahagian kawasan tepi sungai monumen itu mempunyai beberapa buah bilik.

Koch menemui 15 bilik yang dibina pada laluan sama di kawasan mengadap sungai, selain koridor yang sempit.

Terdapat tujuh bilik yang lebih besar pada sudut setiap sisi, enam bilik bersegi dan dua bilik berbentuk oktagon atau lapan sisi.

Bilik terbesar menghadap sungai dengan pemandangan pintu gerbang yang memukau.

Koch menyedari bilik itu menunjukkan 'kesan hiasan yang dicat putih' yang terdapat corak berjaring disusun di antara bulatan sepusat bintang dengan ukiran di tengah.

"Ia pastinya ruang yang indah dan menjadi tempat kepada maharaja, wanita dan rombongannya ketika melawat makam.

"Ia kini tidak ditembusi cahaya semula jadi," kata Koch yang juga pensyarah bidang seni Asia di Universiti Vienna.

Galeri bawah tanah seperti itu biasa dalam seni bina Mughal kerana terdapat beberapa bilik berkubah yang terletak di tepi pantai di kubu di bandar Lahore, Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 7:01 AM