MESIN kapsul akan mencetak gambar individu secara rawak. FOTO Agensi
MESIN kapsul akan mencetak gambar individu secara rawak. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Mesin kapsul di Shinjuku, Jepun mendapat perhatian di media sosial kerana mencetak gambar orang tidak dikenali dengan caj 300 yen (kira-kira RM10.20).

Kapsul Gachapon yang popular di negara itu boleh ditemui di mana saja dengan menawarkan pelbagai koleksi bermula patung animasi, anak patung sehingga cenderamata.

Konsep ini begitu popular hingga ia dimasukkan dalam kebanyakan permainan telefon bimbit dengan pengguna perlu membayar wang untuk peluang mendapat karektor yang hilang.

Mesin kapsul wujud di Jepun selama beberapa dekad tetapi pada Mac lalu, sebuah mesin sama di Tokyo tular di media sosial kerana mengeluarkan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu gambar orang tidak dikenali.

Sukar untuk menjelaskan sebab seseorang membayar sekurang-kurangnya RM10.20 untuk foto orang lain secara rawak.

Menurut laman berita Jepun, Nippon.com, walaupun pelik, namun beribu-ribu orang sudah mencetak sejak beberapa bulan lalu.

Mesin ini cetusan idea seorang usahawan Tokyo bernama Terai Hiroki, yang menjelaskan dia mencetuskan idea itu selepas berfikir kini orang ramai memakai pelitup muka dan adalah baik untuk melihat wajah mereka secara rawak.

"Semua orang memakai pelitup muka sepanjang wabak ini (Covid-19) dan tidak berpeluang untuk melihat wajah orang lain," katanya.

Beberapa orang berkongsi kisah penemuan aneh mereka di media sosial yang menyebabkan mesin di daerah Kagurazaka di Shinjuku menjadi tular.

"Saya membelinya selepas mendengar cerita daripada orang ramai namun kini tidak tahu apa yang boleh dibuat dengan gambar ini," kata seorang pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 6:30 AM