Lhakpa Sherpa
Lhakpa Sherpa
Agensi

Kathmandu: Pada usia 48 tahun, Lhakpa Sherpa sudah 10 kali 'menakluk' Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia.

Kejayaannya dilaporkan adiknya dan disahkan oleh pegawai Nepal dan menjadikan dia sebagai wanita pertama yang berbuat demikian.

Ibu tunggal yang dilahirkan di dalam gua itu tidak menerima sebarang pendidikan khusus dan bekerja sebagai tukang cuci.

Pendakian ke puncak setinggi 8,848 meter itu kali terakhir dilakukannya pada 2018.

"Saya rasakan kejayaan pendakian menakluk Gunung Everest buat kali pertama seperti mimpi menjadi realiti.

"Saya katakan kepada diri ini jangan hanya menjadi seorang suri rumah dan kini saya mampu mengubah budaya Sherpa dan wanita Nepal.

"Kejayaan ini akan saya kongsikan bersama wanita lain dan saya juga lebih gemar melakukan aktiviti di luar rumah," katanya kepada BBC.

Lhakpa terpilih seorang daripada 100 wanita yang memberikan inspirasi dan berpengaruh oleh BBC pada 2016.

Berita mengenai kejayaan pendakiannya kali ke-10 itu dikongsi adiknya Mingma Gelu Sherpa yang berkata, kakaknya sampai di puncak Everest, pada jam 6.15 pagi waktu tempatan, 12 Mei lalu.

Pegawai pelancongan Nepal, Bhishma Kumar Bhattarai kemudian mengesahkan kejayaan itu kepada Reuters.

Bercakap kepada wartawan di kem induk, anak perempuannya Shiny, 15, berkata, dia gembira melihat kejayaan yang dicapai ibunya.

"Saya gembira dengan kejayaan ibu kerana sudah banyak kejayaan diperoleh walaupun dia tidak mempunyai apa-apa," katanya.

Kerja keras dan pencapaian Lhakpa masih belum diterjemahkan kepada kekayaan dan pengiktirafan.

Dia memulakan kehidupan di sebuah kampung lebih daripada 4,000 m di atas paras laut di wilayah Makalu di timur Nepal.

Wanita itu dari kumpulan etnik Sherpa, keturunan Tibet nomad yang kebiasaannya tinggal di kawasan tanah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 6:30 AM