JACINDA Ardern. FOTO AFP
JACINDA Ardern. FOTO AFP
AFP

Wellington: New Zealand akan melonggarkan peraturan Covid-19, minggu ini, kerana jumlah kes yang menghampiri kemuncak dan penduduk mempunyai tahap imuniti yang tinggi, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern, pada Rabu.

Ardern berkata, had bilangan orang ramai berkumpul di luar akan dibatalkan Jumaat, membolehkan acara sukan dan konsert diadakan jumlah pengunjung yang tidak terhad.

Beliau berkata, pas vaksin dan kod imbasan tidak lagi diwajibkan mulai 4 April dan kebanyakan arahan supaya pekerja diimunisasi akan dibatalkan.

"Ini bukan penamat, tetapi dalam beberapa cara ia juga permulaan yang baharu," kata Ardern kepada pemberita, sambil mengakui bahawa 'Covid akan kekal'.

"Sehingga kini, kami mempunyai lebih 500,000 kes Covid-19 yang dilaporkan dan pakar mengatakan mungkin terdapat 1.7 juta jangkitan sebenar.

"Angka itu, ditambah dengan 95 peratus rakyat New Zealand diberi vaksin sepenuhnya, bermakna kita kini mempunyai tahap imuniti kolektif yang tinggi," katanya.

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas Ardern menggariskan rancangan untuk membuka sempadan New Zealand lebih awal daripada yang dijadualkan.

Negara itu dipuji secara meluas kerana berjaya menghalang Covid-19 dalam kalangan komuniti untuk tempoh panjang, tetapi kini berdepan gelombang jangkitan varian Omicron, dengan hampir 21,000 kes baharu direkodkan pada Selasa.

Bagaimanapun, penduduknya yang menerima vaksin adalah tinggi dan hanya 177 kematian dicatatkan daripada keseluruhan lima juta orang.

"Walaupun kami berjaya, ia juga sukar.

"Saya ingin bermula dengan berterima kasih kepada warga New Zealand atas pengorbanan besar yang mereka lakukan sejak dua tahun lalu," katanya.

Ardern berkata, arahan vaksin untuk polis, tentera dan sektor pendidikan akan digugurkan, walaupun ia kekal bagi sektor penjagaan kesihatan dan petugas sempadan.

Beliau menafikan tindakan itu dikaitkan dengan tunjuk perasaan di Wellington yang berakhir dengan rusuhan awal bulan ini ketika polis menyuraikan kumpulan antivaksin yang berada di luar Parlimen, selama tiga minggu.

"Kami bertindak kerana ia selamat untuk berbuat demikian, bukan kerana sesiapa yang tiba di perkarangan Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 3:37 PM