SHILPA Shetty. FOTO AFP
SHILPA Shetty. FOTO AFP
AFP

Mumbai:Aktres India, Shilpa Shetty dibebaskan daripada tuduhan berkelakuan lucah apabila dicium secara terbuka oleh bintang Hollywood Richard Gere dalam satu acara kesedaran Aids, 15 tahun lalu.

Insiden itu mencetuskan ketegangan dalam kalangan kumpulan radikal yang membakar patung selebriti sebagai bantahan terhadap tindakan itu yang dianggap sebagai penghinaan terhadap nilai masyarakat India.

Seorang hakim tidak lama kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap selebriti itu atas tuduhan melakukan perbuatan lucah dan tidak senonoh.

Tuduhan terhadap Gere kemudian tidak diteruskan dan pelakon itu dibenarkan kembali ke India untuk bertemu pemimpin tertinggi Buddha, Dalai Lama.

Namun pertuduhan terhadap Shetty diteruskan lebih sedekad, sebelum pelakon itu akhirnya hanya dibebaskan oleh mahkamah pada minggu lalu.

Hakim berkata, pertuduhan terhadap aktres itu tidak berasas dan bahawa dia tidak mengetahui tindakan Gere.

"Ini menunjukkan Shilpa Shetty adalah mangsa kepada tertuduh pertama," kata penghakiman itu pada Selasa.

Insiden pada 2007 itu berlaku apabila Gere secara spontan mencium tangan Shetty sebelum memeluknya.

Ciuman itu dilakukan sekali lagi pada pipi ketika mereka berada di pentas.

Peguam bela mewakili Shetty berkata, keseluruhan kes bersandarkan fakta bahawa 'dia tidak membantah apabila dia dicium oleh tertuduh.

Shetty, 46, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan mahkamah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:01 AM