JACINDA Ardern. FOTO AFP
JACINDA Ardern. FOTO AFP
AFP

Wellington: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya susulan peraturan lebih ketat bagi menangani peningkatan kes Covid-19 disebabkan penularan pantas varian Omicron.

Ardern mengumumkan perkara itu selepas memperincikan pelaksanaan sekatan baharu termasuk mengehadkan 100 individu lengkap vaksin dalam sesebuah acara majlis.

"Perkahwinan saya tidak akan diteruskan.

"Saya baru sahaja mengikuti jejak langkah ramai warga New Zealand lain yang pernah mengalami pengalaman sama akibat wabak ini.

"Kepada sesiapa yang terperangkap dalam senario itu, saya minta maaf," katanya.

Ardern dan pasangannya, Clarke Gayford tidak pernah mengumumkan tarikh sebenar perkahwinan mereka, namun ia dipercayai dijadualkan berlangsung dalam beberapa minggu lagi.

Ketika ditanya perasaannya melaksanakan sekatan baharu hingga membuatkan perkahwinannya dibatalkan, Ardern berkata, beliau sama seperti rakyat lain.

"Saya tidak berbeza dengan beribu-ribu rakyat New Zealand lain yang mempunyai kesan yang lebih dahsyat akibat wabak itu.

"Paling menyedihkan apabila kadang-kadang tidak berupaya bersama orang yang disayangi terutama apabila mereka sakit tenat.

"Itu jauh lebih menyedihkan berbanding kesedihan yang saya alami," katanya.

Kemunculan sembilan kes Omicron dalam sebuah keluarga yang mengembara antara bandar untuk menghadiri majlis perkahwinan, dan jangkitan membabitkan seorang pramugari di pesawat yang mereka naiki, memaksa New Zealand untuk mengenakan sekatan tetapan merah', mulai tengah malam ini.

Di bawah peraturan baharu yang akan berkuat kuasa sehingga akhir bulan depan turut menetapkan pemakaian wajib pelitup muka dalam pengangkutan awam dan kedai.

Sejak pandemik itu bermula, New Zealand merekodkan 15,104 kes dan 52 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 2:47 PM