BIANCA Cheah bersama anaknya, Oliver. FOTO Instagram
BIANCA Cheah bersama anaknya, Oliver. FOTO Instagram
Agensi

Sydney: Seorang pempengaruh kesihatan Australia ditahan kerana menipu pelabur perniagaan secara dalam talian sebanyak satu juta dolar Australia (kira-kira RM3 juta).

Bianca Cheah, model dan pengasas jenama kesihatan dalam talian Sporteluxe ditahan Pasukan Sempadan Australia di Lapangan Terbang Sydney di sini, jam 7.30 pagi, Jumaat lalu.

Portal Independent melaporkan, sebelum penahanan, wanita itu berada di Los Angeles.

Dia ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang sebelum diserahkan kepada polis New South Wales (NSW).

Cheah yang dahulunya mempunyai lebih 1.3 juta pengikut di Instagram sebelum jumlahnya turun kepada 155,000 pengikut.

Dia didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menerbitkan bahan palsu atau mengelirukan untuk menjana pendapatan.

Pempengaruh berusia 40 tahun dan suami, Simon Chalmers yang kini sudah berpisah dengannya, menjadi subjek penyiasatan penipuan oleh polis NSW sejak November 2019.

Jika didapati bersalah, dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Siasatan dilakukan oleh pelabur yang mendakwa pendapatan yang dikaitkan dengan kerja model dan pengaruhnya tidak logik, dan dakwaan penipuan.

Sebelum ditangkap, Cheah menyiarkan beberapa siri gambar di akaun Instagram mengenai dia dan anak lelakinya, Oliver.

Ia catatan pertamanya sejak Oktober lalu.

Menjelaskan sebab dia tidak melakukan apa-apa hantaran di Instagram, Cheah mendakwa dia memilih untuk fokus meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya.

"Saya memilih mencari kegembiraan dalam perjalanan menjadi ibu. Saya tahu Oliver masih kecil dan perlukan saya," tulisnya.

Seorang netizen kemudian menuduhnya hilang dari media sosial kerana 'lari daripada pihak berkuasa'.

Cheah diberikan jaminan bersyarat dan akan hadir di Mahkamah Manly, pada 22 Februari. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:45 AM