KAPAL berkenaan yang membawa pelarian Rohingya. FOTO EPA
KAPAL berkenaan yang membawa pelarian Rohingya. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Kapal membawa pelarian Rohingya yang terkandas di lautan akhirnya dibenarkan mendarat ke pesisir pantai wilayah Aceh, Indonesia, semalam, atas dasar kemanusiaan, menurut Kementerian Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan.

Timbalan Penyelarasan Ketenteraman dan Keselamatan Awam, Armed Wijaya berkata, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan keadaan genting yang dialami pelarian di atas kapal itu.

"Indonesia hari ini (semalam) memutuskan, atas nama kemanusiaan, akan menampung pelarian Rohingya yang saat ini terapung-apung di atas sebuah kapal di lautan dekat daerah Bireuen, Aceh," katanya dalam satu kenyataan.

Armed berkata, penumpang kapal yang sedang ditarik ke daratan terdiri daripada perempuan dan kanak-kanak, bagaimanapun jumlahnya belum dapat dipastikan.

Pelarian yang tiba akan di saring melalui protokol kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menyeru pemerintah Indonesia untuk membenarkan kapal itu mendarat sejak pertama kali di kesan di kawasan itu pada Ahad, 26 Disember.

Berita berkaitan:

  • Indonesia halau bot pelarian Rohingya ke perairan Malaysia
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 8:07 AM