GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Jeddah: Kes Covid-19 yang disahkan di Arab Saudi meningkat pantas disebabkan oleh varian Omicron, dengan jangkitan lebih dua kali ganda dalam tempoh seminggu.

Dalam sidang media pada Ahad, jurucakap Kementerian Kesihatan Saudi, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly berkata, banyak negara menyaksikan lonjakan kes Covid-19 termasuk Arab Saudi.

Beliau menekankan kepentingan menerima vaksin dan suntikan dos penggalak serta menggalakkan kanak-kanak yang layak mendapatkan vaksin untuk tampil berbuat demikian.

Pihak berkuasa kesihatan mula memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun pada Selasa lalu.

Keutamaan diberikan kepada mereka yang dianggap terdedah dan berisiko tinggi terhadap virus.

Menerusi sidang media sama, jurucakap Kementerian Perdagangan Arab Saudi Abdulrahman Al-Hussain mengumumkan langkah diperlukan bagi perniagaan komersial untuk membantu menangani dan mengawal penularan Cibid19.

Perniagaan komersial dikehendaki melaksanakan kod bar untuk pelanggan mengimbas pada aplikasi Tawakkalna yang diluluskan kerajaan.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk semua perniagaan komersial kecil menyemak status vaksinasi pelanggan melalui aplikasi.

Tambahnya, orang ramai tidak akan dibenarkan memasuki perniagaan komersial tanpa menunjukkan bukti suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 mulai Februari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 9:57 AM