PHUKET. FOTO AFP
PHUKET. FOTO AFP
BERNAMA

Phuket: Kehadiran pengunjung yang ramai di sepanjang Pantai Patong di Phuket, memberi petunjuk bahawa pulau peranginan popular itu kini kembali meriah.

Restoran dan bar di pulau peranginan itu juga semakin menerima jumlah pelanggan yang ramai sejak program Phuket Sandbox dilancarkan pada 1 Julai bagi membolehkan kemasukan pelancong.

Sehingga kini, program Phuket Sandbox sudah menerima 130,368 pengembara.

Mulai 1 November tahun ini, Thailand membuka lagi pintunya kepada pelawat lengkap divaksin dari 63 negara dan wilayah melalui skim kemasukan bebas kuarantin atau Test & Go, dan dari seluruh dunia di bawah skim Living in the Blue Zone atau dikenali sebagai program Sandbox Destinations.

Sehingga 16 Disember lebih 255,000 pelawat sudah memasuki Thailand, jumlah yang sangat kecil jika dibanding seramai 40 juta yang tiba di negara ini sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.

Menurut penganalisis angka prapandemik hanya boleh dicapai pada 2024 atau 2025.

Untuk menarik lebih ramai pelancong terutamanya pelancong jarak dekat, pada 8 Disember, Thai Airways International (THAI) melancarkan penerbangan terus - Sydney-Phuket-Sydney - dalam usaha untuk mengembangkan pasaran Australia ke Phuket dan destinasi-destinasi lain.

Timbalan Gabenor Pemasaran Antarabangsa (Asia dan Pasifik Selatan),Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan berkata, ia adalah usaha berterusan Thailand untuk menarik pelancong global, terutamanya pengembara jarak dekat selepas negara itu membuka semula pintunya kepada pengembara antarabangsa lengkap vaksin dari 63 negara. .

Sejak pelancaran skim Phuket Sandbox dan Test & Go, kira-kira 90 peratus pengembara yang memasuki kerajaan itu adalah dari pasaran perjalanan jarak jauh termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Eropah.

Beliau berkata, pelancong jarak dekat terhad berikutan sekatan perjalanan dan kuarantin yang ketat.

"Kami sangat gembira untuk membuka pasaran perjalanan jarak dekat dan mengalu-alukan penerbangan terus dari Sydney," katanya kepada Bernama.

Thai Airways International (THAI) akan terbang tiga kali seminggu untuk penerbangan terus antara Sydney dan Phuket, dengan penerbangan sulung tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket pada 8 Disember.

Sementara itu, Thailand melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu sektor pelancongannya mengharungi krisis Covid-19.

Tanes berkata, Thailand dan Singapura memulakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), membolehkan pengembara melakukan perjalanan tanpa kuarantin ke Singapura, mulai 14 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:41 PM