Narendra Modi. - FOTO AFP
Narendra Modi. - FOTO AFP
AFP

New Delhi: Akaun Twitter Perdana Menteri India, Narendra Modi digodam dengan mesej yang menyatakan negara berkenaan mengguna pakai bitcoin sebagai tender sah dan sedang mengagihkan mata wang kripto kepada rakyat.

Modi adalah pengguna Twitter yang prolifik dan menjadi ahli politik paling popular di platform berkenaan dengan lebih 73 juta pengikut.

Ciapan yang dibuat dari akaun @narendramodi menyatakan bahawa kerajaan India secara rasmi membeli 500 bitcoin dan sedang mengagihkannya untuk semua penduduk India, yang turut disertakan pautan tidak sah.

Pejabat Modi turut membuat ciapan dan menjelaskan bahawa akaun itu 'telah dikompromi' dan Twitter sudah memulihkan kawalan.

Ciapan yang dibuat oleh penggodam. - FOTO Agensi
Ciapan yang dibuat oleh penggodam. - FOTO Agensi

Ini adalah kali kedua akaun Twitter Modi digodam, selepas kejadian pertama tahun lalu yang menyebarkan pesanan supaya orang ramai menderma ke tabung bantuan Covid-19.

Penggodaman itu berlaku ketika India bersiap sedia untuk mengekang perdagangan mata wang kripto yang berkembang pesat dengan undang-undang baharu yang mungkin akan diperkenalkan di parlimen bulan ini.

Butiran undang-undang masih tidak jelas tetapi kerajaan telah mengenakan larangan meluas terhadap mata wang digital dikendalikan pihak swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 5:45 PM