SHEHROZE Kashif. FOTO AFP
SHEHROZE Kashif. FOTO AFP
AFP

Islamabad: Pendaki gunung Pakistan, Shehroze Kashif berdepan banyak bahaya ketika mendaki puncak tertinggi di planet ini, namun detik paling sukar buatnya adalah ketika melepasi mayat di lereng Gunung K2 .

Shehroze berusia 19 tahun ketika menjadi individu termuda mendaki dua puncak paling tinggi di dunia iaitu Gunung Everest dan Gunung K2.

Di K2, betul-betul di bawah hamparan terkenal yang dikenali sebagai Bottleneck, dia melewati mayat John Snorri dari Iceland, Juan Pablo Mohr dari Chile dan pendaki legenda Pakistan, Ali Sadpara.

"Saat paling emosi bagi saya adalah melalui mayat wira Pakistan (Ali Sadpara)," kata Shehroze kepada AFP dalam satu temu bual.

Ramai warga Pakistan aktif dalam pendakian gunung, namun Sadpara menjadi segelintir yang berada dalam kelompok elit yang dikuasai pendaki Barat.

Sadpara dilaporkan hilang bersama Snorri dan Mohr pada 5 Februari.

Lima bulan kemudian, mayat mereka ditemui pada 26 Julai dan Shehroze melakukan perkara hebat menawan puncak itu pada waktu subuh, keesokan harinya.

"Saya menjadi emosi, memikirkan bahawa mereka datang dengan semangat yang sama seperti saya.

"Bagaimanapun saya berfikir, mengapa tidak memenuhi impian mereka yang tidak tercapai? Jadi saya membawa impian mereka bersama saya," katanya.

Bulan ini, Guinness World Records (GWR) secara rasmi mengisytiharkan Shehroze sebagai individu termuda mendaki K2 dan yang paling muda mendaki kedua-dua gunung tertinggi di dunia.

Kashif mendaki Everest, yang mempunyai ketinggian 8,849 meter, pada Mei.

Tetapi K2 setinggi 8,611 m yang terletak berhampiran sempadan Pakistan dengan China adalah puncak yang 'lebih kejam'.

Kini, Shehroze berkata, Everest dan K2 tidak memadai buatnya dan merancang menjadi individu termuda mendaki 14 gunung tertinggi di dunia, yang melebihi 8,000 meter.

Semuanya terletak di Asia, di Himalaya atau banjaran Karakoram, dan lima berada di Pakistan.

Dilaporkan hanya 40 individu yang dipercayai mencipta sejarah mendaki kesemua 14 puncak tertinggi itu.

Bagaimanapun sukar untuk mengesahkan dakwaan itu, malah bilangannya mungkin lebih sedikit berbanding yang dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 3:07 PM