PEMUDA yang dikejarkan ke hospital susulan paru-paru gagal berfungsi. FOTO Agensi
PEMUDA yang dikejarkan ke hospital susulan paru-paru gagal berfungsi. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang lelaki berusia 25 tahun dikejarkan ke hospital selepas paru-parunya gagal berfungsi akibat menyanyikan lagu nada tinggi ketika sesi karaoke di majlis hari jadi rakannya.

Media China, baru-baru ini melaporkan kes pelik seorang lelaki muda dari Changsha di Wilayah Hunan, yang mengalami kecederaan paru-paru serius.

Oddity Central melaporkan lelaki yang dikenali sebagai Wang Zhe dilaporkan menghadiri majlis hari jadi rakannya dan memutuskan untuk menonjolkan bakat nyanyiannya dengan menyanyikan lagu bernada tinggi.

Apabila tiba di bahagian nada tinggi, lelaki itu benar-benar menyanyi sepenuh hati sehingga mencederakan paru-parunya.

Kesakitan itu dirasainya sehingga keesokan harinya dan dia mendapati hampir tidak boleh bernafas.

Apabila dia bangun keesokan harinya, Wang mengalami kesukaran bernafas yang serius menyebabkan keluarganya membawa lelaki itu ke hospital.

Dia memberitahu doktor apa yang berlaku pada hari sebelumnya, dan dia merasakan sakit di paru-paru kanannya sepanjang malam.

Imbasan sinar-X menunjukkan dia mengalami pneumotoraks, keadaan yang berpotensi mengancam nyawa di mana gelembung udara terbentuk di antara paru-paru dan dinding dada.

Doktor memberitahu lelaki itu apabila dia memaksa dirinya untuk mencapai not tinggi ketika menyanyi, dia menggunakan terlalu banyak kekerasan sehingga kantung udara di paru-paru kanannya pecah.

Ia menyebabkan poket udara lebih besar daripada satu sentimeter ke dalam rongga dada dan secara beransur-ansur menyebabkan kapasiti paru-paru kurang 15 peratus daripada tahap normal.

Wang Zhe perlu menjalani bullectomy, prosedur invasif untuk membuang pengumpulan udara dalam rongga dadanya.

Dia bernasib baik dan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari Hospital Pusat Changsha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:00 AM