Seorang lelaki berjalan di hadapan papan ketibaan yang menunjukkan sejumlah penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. - FOTO AFP
Seorang lelaki berjalan di hadapan papan ketibaan yang menunjukkan sejumlah penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo. - FOTO AFP
AFP

Tokyo: Jepun meminta syarikat penerbangan untuk menghentikan sebarang tempahan penerbangan masuk susulan kebimbangan varian Omicron.

Pengumuman Kementerian Pengangkutan Jepun itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan kes kedua daripada jangkitan varian baharu berkenaan menerusi seorang pengembara yang tiba ke negara terbabit, sehari selepas kes pertama dilaporkan.

"Kita sudah meminta syarikat penerbangan untuk berhenti menerima semua tempahan penerbangan masuk yang baharu bagi tempoh sebulan, mulai 1 Disember," kata pegawai kementerian pengangkutan sambil menjelaskan tempahan sedia ada tidak terjejas berikutan arahan berkenaan.

Kerajaan Jepun sudah mengetatkan kawalan sempadannya, dengan mengenakan sekatan kemasukan invididu bukan warganegara dari 10 negara Afrika Selatan.

Prosedur kuarantin juga diperketatkan untuk warganegara dan penduduk asing yang pulang dari beberapa negara serta wilayah, berikutan kebimbangan Omicron.

Pegawai kerajaan memaklumkan bahawa kes kedua Omicron disahkan semalam menerusi pengembara dari Peru yang memasuki Jepun, bulan lalu.

Kes pertama jangkitan Omicron diumumkan Selasa, membabitkan seorang lelaki yang tiba dari Namibia.

Sempadan Jepun ditutup sepanjang pandemik, malah warganegara dikenakan sekatan untuk pulang ke negara berkenaan bagi tempoh tertentu tahun lalu.

Selepas peningkatan kes pada musim panas lalu, Jepun kini merekodkan kadar jangkitan dua angka di seluruh negara dan 18,360 kes kematian sepanjang pandemik melanda.

Sekitar 77 peratus daripada populasi negara berkenaan sudah mendapat suntikan vaksin, manakala dos penggalak hari ini sedang giat diberikan kepada individu yang menerima dos suntikan kedua, sekurang-kurangnya lapan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:07 PM