KESHAV (kiri) dan Anjali (dua dari kiri) bersama bapa serta kakak sulung mereka. FOTO AGENSI
KESHAV (kiri) dan Anjali (dua dari kiri) bersama bapa serta kakak sulung mereka. FOTO AGENSI
Agensi

New Delhi: Dua beradik di India kelihatan lebih tua daripada usia sebenar apabila menderita penyakit jarang jumpa, Cutis Laxa dan Progeria yang tiada penawar.

Keshav, 6, dan Anjali Kumar, 13, dari Jharkhand sering menjadi mangsa buli kanak-kanak lain yang menggelar mereka dengan pelbagai jolokan kerana penampilan berkulit kedut dan kendur seperti warga emas.

Malah, akibat penyakit yang juga dikenali sebagai sindrom Benjamin Button, mereka turut mengalami masalah sendi dan otot.

Selain itu, dua beradik itu mempunyai sistem imun badan lemah, menyebabkan mereka mudah mengalami pelbagai penyakit termasuk masalah jantung.

Dalam satu wawancara dengan media, Anjali berkata, mereka kerap menjadi bahan jenaka dan ejekan rakan sekolah mereka.

KESHAV dan Anjali. FOTO AGENSI
KESHAV dan Anjali. FOTO AGENSI

"Kanak-kanak di sekolah panggil saya dengan nama yang jelek seperti daadi amma (nenek), budhiya (wanita tua), bandariya (monyet) atau hanuman," katanya seperti dilaporkan Oddity Central.

Ibu bapa mereka, Shatrughan Rajak dan Rinki Devi, berharap dapat melakukan yang terbaik untuk anak mereka, namun doktor memberitahu tiada cara di India, malah jika ada di luar negara pun satu-satunya pilihan adalah hanya menghilangkan rasa sakit dialami.

Difahamkan, keluarga itu datang dari keluarga susah dan tidak mampu membeli ubat serta mereka hanya dirawat dengan ubat homeopati yang tidak memberi kesan memberangsangkan.

Susulan itu, mereka menjalani rawatan penegangan kulit untuk mengurangkan kedutan dan kulit kendur hasil bantuan dari sebuah pertubuhan, Care Today Fund.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:01 AM