SUSPEK (kanan dan dua dari kanan) yang didakwa membunuh anak autisme menggunakan paip getah dan gayung. FOTO Agensi
SUSPEK (kanan dan dua dari kanan) yang didakwa membunuh anak autisme menggunakan paip getah dan gayung. FOTO Agensi
Agensi

Sumatera Selatan: Akibat membuang air besar merata tempat, kanak-kanak autisme maut dipukul ibu bapanya sendiri, di daerah Musi Banyuasin (Muba), di sini, Rabu lalu.

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu dipukul dengan paip getah dan gayung sehingga pengsan, sebelum ditinggalkan di dalam bilik air.

Sebelum kejadian, anak sulung dari tiga beradik itu dikatakan membuang air besar merata tempat menyebabkan bapanya berusia 33 tahun berang lalu memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan paip getah.

Lebih menyedihkan, ibu mangsa berusia 29 tahun tidak membantu, malah turut memukul mangsa dengan gayung sehingga kanak-kanak itu pengsan.

Malah, mangsa turut ditinggalkan di dalam bilik air, sebelum dibantu penduduk setempat.

Ketua Polis Muba AKBP Alamsyah Palupessy berkata, ketika dibawa ke pusat kesihatan, mangsa sudah meninggal dunia, dan bedah siasat dijalankan.

"Hasil bedah siasat mendapati banyak kesan lebam pada badan mangsa," katanya kepada wartawan pada Jumaat.

Penduduk yang marah dengan tindakan pasangan suami isteri itu membuat laporan kepada polis.

Dua jam kemudian, kedua-duanya ditahan di kediaman ibu bapa mereka di Dusun LK II, Desa Mangun Jaya, Kecamatan Babat Toman, daerah Muba.

"Bapa mangsa mengaku memukul di bahagian belakang sebanyak dua kali, manakala ibunya memukul di kepala kanak-kanak malang itu," katanya.

Berdasarkan pengakuan ibu mangsa, dia menjelaskan mereka mempunyai tiga anak dan mangsa adalah anak sulung.

Hanya mangsa mengalami autisme, manakala dua lagi anak mereka normal.

Katanya, tindakan anaknya yang sering membuang air besar merata tempat membuatkan dia hilang sabar.

"Kemuncaknya pada hari kejadian apabila saya memukulnya, tetapi saya tidak sangka berlaku begini (anak meninggal dunia).

"Masalahnya anak saya sering buang air besar merata tempat dan ini bukan kali pertama.

"Tetapi saya mengaku terkhilaf," katanya yang mengaku menyesal dengan perbuatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 10:57 AM