Kapal pengawal pantai China dan bot bekalan Filipina terhenti ketika bot itu cuba menuju ke Beting Second Thomas di Laut China Selatan dalam gambar dirakam pada 2014. FOTO AFP
Kapal pengawal pantai China dan bot bekalan Filipina terhenti ketika bot itu cuba menuju ke Beting Second Thomas di Laut China Selatan dalam gambar dirakam pada 2014. FOTO AFP
AFP

Manila: Filipina mendakwa kapal pengawal pantai China menembak meriam air ke arah bot yang menghantar bekalan kepada tentera marin negara itu di Laut China Selatan.

Susulan serangan itu, Filipina dengan lantang mengarahkan Beijing 'berundur' dari perairan yang dipertikaikan itu.

Setiausaha Luar, Teodoro Locsin berkata, beliau sudah menyuarakan kemarahan, kecaman dan bantahan kepada Beijing berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, insiden berlaku pada Selasa lalu ketika bot Filipina dalam perjalanan ke Beting Second Thomas di Kepulauan Spratly yang dipertikaikan.

"Mujurlah tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu, namun bot kami terpaksa membatalkan misi menghantar bekalan," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Locsin menyifatkan tindakan tiga kapal China itu menyalahi undang-undang.

Beliau juga menyifatkan bot Filipina sebagai kapal awam yang dilindungi dibawah perjanjian pertahanan bersama dengan Amerika Syarikat (AS).

"China tidak mempunyai hak penguatkuasaan undang-undang di dalam dan sekitar kawasan itu. Mereka harus mengambil perhatian dan berundur," katanya.

Sementara itu, Locsin menegaskan, kawasan beting itu berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif Filipina dan menegaskan 'kegagalan China untuk mengawal tindakan mereka mengancam hubungan istimewa' antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:20 AM