Seorang kakitangan mengendalikan vaksin Covid-19 keluaran  Pfizer- BioNTech. - FOTO EPA
Seorang kakitangan mengendalikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer- BioNTech. - FOTO EPA
Agensi

Singapura: Sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian yang dimeterai Ogos lalu, Australia memulangkan sekitar 500,000 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada Singapura hari ini.

Di bawah perjanjian itu, Singapura menghantar sekitar 500,000 dos mRNA ke Australia pada September bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi di Australia.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan berkata, dos yang dipulangkan oleh Australia akan membantu program suntikan vaksin penggalak Covid-19 yang dijalankan di Singapura bagi penduduk yang layak.

"Aturan perkongsian dos itu adalah bukti hubungan kukuh yang terjalin antara Singapura dengan Australia, disokong Kerjasama Strategik Menyeluruh (CSP)," katanya seperti dilaporkan Mediacorp.

MFA berkata, pegawai kesihatan dan ehwal luar dari kedua-dua negara bekerja rapat bagi melaksanakan aturan itu.

"Sepanjang pandemik, kedua-dua negara juga berkongsi amalan terbaik untuk menangani Covid-19, bekerjasama bagi memastikan pasaran kekal terbuka dan ketersambungan rantaian bekalan serta bekerjasama untuk menyambung semula perjalanan dua hala bebas kuarantin," katanya.

Ketika perjanjian itu diumumkan pada 31 Ogos lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, jumlah vaksin yang sama akan dipulangkan pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:29 PM