RADEN dikerumuni kanak-kanak yang ingin meminjam buku yang ditukar dengan sampah.
RADEN dikerumuni kanak-kanak yang ingin meminjam buku yang ditukar dengan sampah.
Agensi

Jakarta: Bagi menggalakkan masyarakat setempat menjaga alam sekitar, seorang pustakawan wanita di Pulau Jawa, Indonesia meminjamkan buku kepada kanak-kanak setempat dengan syarat mereka menyerahkan sisa sampah dikutip sebagai tukaran.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan setiap hari, Raden Roro Hendarti akan menunggang motosikal tiga roda dengan buku disusun di belakang bagi menukarnya dengan cawan plastik, beg dan sisa lain dengan kanak-kanak dari kampung Muntang.

Menurut Raden, matlamat inisiatif itu adalah memupuk amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak serta membuat mereka sedar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Sebaik Raden tiba, kanak-kanak yang datang dengan ibu mereka, mengerumuni 'perpustakaan' dinamakan Limbah Pustaka dan menjerit untuk mendapatkan buku.

Mereka semua membawa beg sampah dan motosikal roda tiga Raden dengan pantas dipenuhi sampah sebaik buku diserahkan kepada kanak-kanak terbabit.

Raden gembira inisiatifnya itu dapat mengajak kanak-kanak untuk mengurangkan masa dihabiskan untuk permainan dalam talian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:35 AM