Penumpang Singapore Airlines tiba di Lapangan Terbang Changi. - FOTO AFP
Penumpang Singapore Airlines tiba di Lapangan Terbang Changi. - FOTO AFP
AFP

Singapura: Bermula hari ini, Singapura menerima kemasukan penumpang dari lapan negara tanpa perlu menjalani kuarantin.

Bulan lalu, ia memulakan usaha sama untuk penumpang dari Jerman dan Brunei dan kini ia diikuti lapan lagi negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Britain, Denmark, Perancis, Itali, Sepanyol dan Belanda.

Singapore Airlines berkata, penerbangan dari Amsterdam, London, Los Angeles dan New York dijadualkan berlepas hari ini di bawah program berkenaan.

"Kami menyaksikan permintaan yang tinggi untuk penerbangan di bawah program ini. Ia meliputi semua kelas kabin dan pelbagai segmen perjalanan termasuk pelancongan, keluarga atau perniagaan," kata syarikat penerbangan itu.

Korea Selatan akan berada dalam senarai sama bermula 15 November nanti.

Penumpang di bawah skim ini tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan diuji negatif sebelum berlepas dan ketika tiba di Singapura.

Bagi memudahkan penumpang keluarga, Singapura turut membenarkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan belum menerima vaksin ditemani individu dewasa yang menepati syarat ditetapkan.

Sebelum pandemik, pelancongan mewakili lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura, menurut ahli ekonomi CIMB Private Banking, Song Seng Wun.

"Singapura menerima kira-kira 1.6 juta pelancong setiap bulan dan lapangan terbang di sini mengendalikan lebih 1,000 penerbangan sehari.

"Namun, kini hanya kira-kira 300 penerbangan sehari direkodkan," katanya.

Statistik dari lembaga pelancongan Singapura menunjukkan ketibaan pelawat antarabangsa merudum ke kurang 2.8 juta tahun lalu berbanding 19.1 juta yang dicatatkan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 6:02 PM