Petugas membuka pelekat penjarakan sosial di Masjidil Haram. - FOTO Agensi
Petugas membuka pelekat penjarakan sosial di Masjidil Haram. - FOTO Agensi
Agensi

Makkah: Petugas mula membuka pelekat penjarakan sosial di koridor dalam dan bangunan Masjidil Haram selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Saudi Press Agency melaporkan, langkah berkenaan juga adalah sebahagian persiapan menyambut jemaah umrah dan pelawat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang dibuka pada kapasiti penuh bermula hari ini.

Ia adalah antara enam perkara berkaitan kelonggaran Covid-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat lalu.

Menerusi infografik yang dimuat naik di laman Twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

"Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya, selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna," katanya.

Pelekat untuk mengingatkan mengenai penjarakan sosial di Masjidil Haram kini dibuka sebagai permulaan untuk beroperasi pada kapasiti penuh. - FOTO Agensi
Pelekat untuk mengingatkan mengenai penjarakan sosial di Masjidil Haram kini dibuka sebagai permulaan untuk beroperasi pada kapasiti penuh. - FOTO Agensi

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang dan dewan acara untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 2:32 PM