FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

Wellington: New Zealand mengumumkan dasar drastik 'tiada suntikan, tiada kerja' untuk kebanyakan kakitangan kesihatan dan guru bagi membendung Covid-19.

Menteri Tindak Balas Covid-19 yang juga Menteri Pendidikan, Chris Hipkins berkata, segala-galanya tidak boleh berserah kepada nasib kerana sudah ada cara untuk mengurangkan kesan ancaman Covid-19.

"Itulah sebabnya kita mewajibkan suntikan vaksin Covid-19, bermula dengan golongan tertentu," katanya.

Doktor, jururawat dan pekerja petugas barisan hadapan kesihatan lain perlu dilengkapi dua dos suntikan vaksin, menjelang 1 Disember ini.

Sementara itu, kakitangan sektor pendidikan yang mempunyai kontak dengan pelajar harus memenuhi prasyarat sama menjelang 1 Januari tahun depan.

Presiden Kolej Pengamal Perubatan Diraja New Zealand, Samantha Murton, ketika mengulas mengenai perkara itu, menyokong langkah mewajibkan suntikan vaksin, dengan menyifatkannya sebagai keputusan 'berani, tetapi wajar' dilakukan.

Sekolah menengah juga diminta untuk menyimpan rekod pendaftaran bagi menunjukkan status imunisasi pelajar.

Arahan itu juga antara lain membabitkan pendidik yang mengajar di rumah dan sukarelawan dalam kalangan ibu bapa di sekolah, namun tiada keputusan setakat ini dibuat sama ada imunisasi diwajibkan bagi sektor pengajian universiti.

Sebelum kemunculan varian Delta pada Ogos lalu, New Zealand dihujani pujian susulan dasar penghapusan Covid-19 yang diterapkan negara itu, sekali gus menjadi 'perisai' daripada pandemik kesihatan terbabit.

Susulan itu, penduduk berupaya menikmati kehidupan hampir seperti biasa, di samping langkah kawalan ketat di sempadan antarabangsa.

Bagaimanapun, pendekatan 'Sifar Covid' terjejas berikutan varian Delta yang dikesan menular di Auckland, iaitu wilayah paling padat dengan penduduk di New Zealand dan didapati tersebar di seluruh Northland dan Waikato.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, varian Delta yang mempunyai kadar penularan lebih tinggi membuktikan bahawa ia sukar dihapuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:12 PM