CHINATOWN,  Singapura. FOTO AFP s
CHINATOWN, Singapura. FOTO AFP s
BERNAMA

Singapura: Singapura mengesan lebih 3,000 kes baharu Covid-19 pada Selasa (5 Oktober), jumlah tertinggi dicatatkan sejak pandemik bermula tahun lalu.

Daripada 3,486 kes baharu, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan sebanyak 2,767 adalah kes tempatan, 713 di asrama pekerja migran, dan enam kes import.

Dalam kemas kini datanya, menurut kementerian itu 1,512 kes masih menerima rawatan di hospital, 247 memerlukan bantuan oksigen dan 34 di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, taklimat terkini Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian memaklumkan Singapura menyaksikan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 5,000 sehari dalam tempoh dua minggu, dengan sebahagian besar pesakit mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

Sepanjang 28 hari lepas, daripada 40,396 individu yang dijangkiti, 98.3 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.4 peratus perlukan bantuan oksigen, 0.1 peratus memerlukan rawatan ICU, dan 0.2 peratus meninggal dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan, sembilan lagi kematian dilaporkan pada Selasa, semua korban adalah warga emas Singapura atau Penduduk Tetap dengan tiga daripadanya tidak divaksinasi sementara dua lagi belum lengkap dos vaksin Covid-19.

Secara keseluruhan, 130 meninggal dunia di republik itu berikutan komplikasi jangkitan Covid-19.

Pada 4 Okt, 83 peratus populasi republik itu telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, manakala 85 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Setakat ini, 321,228 individu sudah disuntik dos penggalak.

Sehingga tengah hari Selasa, jumlah kes adalah 109,804 dengan 23,463 kes aktif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:50 PM