KURA-KURA yang diselamatkan dari Landasan A di Lapangan Terbang Narita. FOTO Mainichi
KURA-KURA yang diselamatkan dari Landasan A di Lapangan Terbang Narita. FOTO Mainichi

Tokyo: Tutup landasan kerana kura-kura melintas. Itu yang berlaku di Landasan A Lapangan Terbang Narita di sini, yang terpaksa ditutup apabila seekor kura-kura dilihat 'menggunakan' landasan.

Mainichi.jp melaporkan, landasan itu ditutup selama kira-kira 12 minit dengan lima penerbangan ditangguhkan kira-kira 15 minit.

Kejadian berlaku jam 11.35 pagi, 24 September lalu ketika juruterbang memberitahu pusat kawalan mengenai kehadiran haiwan itu.

Kura-kura itu kemudian dialihkan ke lokasi selamat.

Menurut pejabat berkuasa, antara lima pesawat yang ditunda sementara itu adalah pesawat Airbus A380 All Nippon Airways (ANA) yang bertemakan kura-kura.

Mereka berkata, kura-kura itu panjangnya kira-kira 30 sentimeter, dan beratnya 2.1 kilogram.

Pekerja dari syarikat gabungan menyelamatkan reptilia berkenaan yang dipercayai dari kolam berdekatan dengan menggunakan jaring.

Sebelum ini, terdapat kes haiwan seperti kucing dan arnab berada di landasan, namun kura-kura jarang dilihat melaluinya.

Dalam pada itu, Pesawat Airbus A380 ANA yang bertemakan kura-kura sebelum ini hanya digunakan bagi perjalanan ke dan dari Hawaii, namun penerbangan tetapnya sudah dibatalkan kerana wabak Covid-19.

Ketika kejadian itu, ia akan memulakan perjalanan pertamanya ke Naha, ibu kota wilayah selatan Okinawa di Jepun, untuk penerbangan khas.

"Di Hawaii, kura-kura dikatakan membawa tuah, dan kami berharap ia datang untuk melihat penerbangan, memberi isyarat masa depan yang cerah," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:40 AM