Seorang lelaki menerima suntikan vaksin Covid-19 di Srinagar, Kashmir, India. - FOTO EPA
Seorang lelaki menerima suntikan vaksin Covid-19 di Srinagar, Kashmir, India. - FOTO EPA
AFP

New Delhi: India akan mengeksport lapan juta dos vaksin Covid-19 menjelang akhir Oktober ini selepas mengakhiri larangan penghantaran ke luar negara, kata pegawai tertinggi kementerian luar.

Perdana Menteri, Narendra Modi berjanji untuk meneruskan eksport pada pertemuan pemimpin yang digelar Quad di Washington di mana India, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat (AS) cuba mengatasi pengaruh China di wilayah Asia Pasifik.

Setiausaha kementerian, Harsh Vardhan Shringla berkata, sebahagian besar daripada lapan juta vaksin satu dos Johnson & Johnson akan dihantar ke negara Asia Pasifik.

"Ia akan tersedia menjelang akhir Oktober. Ia adalah penghantaran segera daripada Quad ke wilayah Indo-Pasifik," katanya.

India adalah antara pengeluar terbesar vaksin dunia dan pada awal tahun ini berikrar untuk mengeksport satu bilion dos vaksin Covid-19 menjelang Disember 2022.

Namun, New Delhi menghentikan eksport pada Mei lalu selepas berdepan gelombang Covid-19 yang teruk di India.

Ia kemudiannya menarik semula larangan itu minggu ini selepas merekodkan penurunan jumlah jangkitan dan kematian baru.

India berdepan kekurangan vaksin beberapa minggu ketika kemuncak jangkitan pada Mac dan Mei yang mengorbankan sekurang-kurangnya 250,000 individu dan menjangkiti jutaan yang lain.

Ia kini sudah memberikan hampir 840 juta dos vaksin di mana hampir separuh populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 16 peratus lagi menerima dua dos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:38 PM