Rudiat mempunyai ramai pembaca tetap yang akan menghubunginya untuk meminjam buku. FOTO Ihsan Rudiat.
Rudiat mempunyai ramai pembaca tetap yang akan menghubunginya untuk meminjam buku. FOTO Ihsan Rudiat.
Agensi

Jakarta: Pada jam 6 pagi ketika matahari mula naik di perkampungan Pasirhuni, Jawa Barat, Rudiat sudah sibuk menyusun pelbagai jenis buku.

Penjual tauhu itu meletakkan puluhan buku dalam dua kotak di belakang motosikalnya bersama sekotak lagi tauhu jualan, kemudian menjaja ke sekitar perkampungan di pedalaman Cimaung.

Menjual tauhu adalah punca pendapatan utamanya sejak dekad lalu namun, menyebarkan kemahiran literasi adalah misi kehidupannya.

CNA melaporkan, Rudiat, 43, akan meminjamkan buku kepada pelanggan yang membeli tauhu jualannya.

"Saya bawa buku yang sesuai untuk mereka. Jika saya ke kampung yang majoriti pembeli tauhu adalah petani, saya akan bawa buku mengenai pertanian contohnya, bagaimana menternak itik.

"Tetapi jika orang kampung kebanyakannya suri rumah, saya pinjamkan buku mengenai kekeluargaan dan topik yang berkaitan seperti penjagaan kanak-kanak," katanya.

Rudiat mahu menggalakkan penduduk kampung membaca. FOTO Jumari Haryadi/ CNA.
Rudiat mahu menggalakkan penduduk kampung membaca. FOTO Jumari Haryadi/ CNA.

Meskipun pendapatannya hanya 1.5 juta rupiah (RM439) sebulan, lebih rendah daripada gaji minimum penduduk Jawa Barat (RM527), Rubiat akan memperuntukkan 2.5 peratus daripada gaji itu untuk membeli buku.

Dia sudah membeli 3,500 buku sejak 25 tahun lalu dan menerima 2,500 buku lagi daripada penderma yang mengetahui mengenai kerja sukarelawannya.

"Saya gelarkan 'buku tauhu'. Di mana ada tauhu, di situ ada buku. Buku menjadikan kita bijak dan tauhu pula membuatkan kita sihat," katanya yang memberitahu tidak kisah sekiranya buku yang dipinjamkan tidak dikembalikan.

Bermula secara kecil, inisiatif Rudiat kini memenangi hati pembaca setia, bahkan ada yang akan menghantar mesej kepadanya terlebih dahulu untuk menempah buku ingin dibaca sebelum dia ke perkampungan mereka pada keesokan harinya.

Rudiat juga berkongsi kisah dia dibuli dan diejek rakan sekampung kerana tidak menghabiskan persekolahan disebabkan kemiskinan, yang menjadi antara pendorong untuk membuktikan dirinya juga boleh berjaya seperti orang lain.

Untuk itu ketika mula bekerja di kilang membuat tauhu pada usianya 19 tahun, Rudiat membawa buku ke tempat kerja dan mengasingkan duit gajinya sebanyak 2.5 peratus untuk membeli bahan bacaan.

Langkah itu katanya inspirasi daripada amalan membayar zakat yang dituntut Islam.

"Saya bawa buku ke tempat kerja dan membaca ketika masa lapang. Saya mahu tunjukkan dengan membaca, saya boleh memajukan diri," katanya yang berkahwin dengan wanita ulat buku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:48 PM