GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

New Delhi: Jharkhand, negeri di timur India merancang menubuhkan bank susu dalam usaha menyediakan susu ibu bagi menyelamatkan bayi yang dilahirkan, tetapi tidak dapat disusukan ibu kandung kerana masalah perubatan atau penyakit.

Pegawai dari jabatan kesihatan berkata, sebagai sebahagian daripada projek itu, bank susu seperti itu kemungkinan besar ditubuhkan di Ranchi.

Telegraph India melaporkan bank itu berfungsi seperti bank darah apabila golongan ibu secara sukarela menyumbangkan susu mereka demi menyelamatkan nyawa bayi, dalam kes tertentu.

Ketua Setiausaha Tambahan (Kesihatan), Arun Kumar Singh berkata, cadangan penubuhan bank susu di beberapa daerah di Jharkhand sudah disiapkan.

Beliau berkata, jabatan kesihatan berusaha melaksanakannya.

"Susu disumbangkan juga membantu memerangi kekurangan zat makanan dalam kalangan bayi yang baru lahir di negeri ini," kata Arun.

Doktor mengatakan penyusuan susu ibu dalam satu jam pertama kelahiran memainkan peranan penting untuk kesihatan dan keselamatan bayi.

Ramai bayi baru lahir mungkin mati sekiranya tidak menerima susu pada jam pertama selepas kelahiran.

Dalam kes sedemikian, bekalan susu dari bank susu membantu menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

Menurut doktor, ada keadaan tertentu di mana si ibu tidak dapat menyusukan bayi dengan susu badan.

Ia termasuk wanita yang menderita sindrom ovari polikistik, hipotiroidisme atau payudara hipoplastik iaitu seorang wanita mempunyai tisu kelenjar tidak mencukupi.

Wanita yang menjalani pembedahan payudara atau kemoterapi juga mungkin tidak dapat menyusukan bayi mereka..

Sebaliknya, banyak ibu sihat dan menyusu, sering menghasilkan lebih banyak susu berbanding keperluan bayi mereka.

Lebihan susu terbuang dapat disumbangkan ke bank susu, kata doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:30 AM