Polis menahan peserta protes di Melbourne. - FOTO AFP
Polis menahan peserta protes di Melbourne. - FOTO AFP
AFP

Melbourne: Beberapa anggota polis cedera dan ratusan penunjuk perasaan ditahan dalam perarakan membantah perintah berkurung Covid-19.

Pegawai polis menggunakan penyembur lada dan menahan 200 individu dalam kekecohan yang tercetus di Melbourne.

Perhimpunan haram itu berlangsung tatkala Melbourne dikenakan perintah berkurung yang keenam sejak pandemik Covid-19 melanda, dengan negeri lebih besar, Victoria merekodkan lebih 500 kes positif hari ini.

Polis berkata, enam anggotanya dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan angkara dibaling dengan objek dan dipijak dalam pertembungan membabitkan lebih 700 individu.

Anggota polis Victoria berdepan tindakan agresif peserta protes. - FOTO EPA
Anggota polis Victoria berdepan tindakan agresif peserta protes. - FOTO EPA

Komander Polis Victoria, Mark Galliott berkata kepada media bahawa sekumpulan penunjuk perasaan bertindak melakukan perhimpunan haram hari ini, bukan bertujuan untuk memperjuangkan isu kebebasan.

"Sebaliknya, apa yang kita saksikan hari ini ialah sekumpulan penunjuk perasaan yang sengaja mahu bergaduh dengan polis," katanya.

Polis sebelum ini menyekat akses laluan ke pusat bandar dengan membuat sekatan jalan raya dan memberhentikan pengangkutan awam bagi memastikan keganasan yang tercetus bulan lalu tidak berulang.

Namun, peserta tunjuk perasaan menukar lokasi perhimpunan, dengan rakaman menyaksikan sekumpulan individu cuba merempuh barisan pertahanan polis, menyebabkan pertembungan berlaku di sepanjang laluan tram.

Sepasukan anggota polis turut berjaya menghalang perhimpunan sama di Sydney, susulan kawalan keselamatan yang ketat di lokasi terbabit.

Seorang peserta protes jatuh akibat ditolak ketika pertembungan dengan anggota polis di Melbourne. - FOTO AFP
Seorang peserta protes jatuh akibat ditolak ketika pertembungan dengan anggota polis di Melbourne. - FOTO AFP

Polis di New South Wales berkata pihaknya menahan kira-kira 20 individu di bandar berkenaan, dengan majoriti di sekitar jaringan pengangkutan awam manakala selebihnya dalam perhimpunan berskala kecil.

Kedua-dua bandar itu kini dikenakan perintah berkurung berpanjangan dalam usaha pihak berkuasa memberikan suntikan vaksin bagi membendung penularan jangkitan.

Australia berjaya mencapai 'sifar Covid' sepanjang pandemik ini berlaku, melalui usaha penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, penularan varian Delta menyaksikan dua bandar terbesar di Australia kembali dikenakan perintah berkurung, awal tahun ini dan pihak berkuasa meletakkan sasaran untuk mencapai 70 peratus kadar vaksinasi sebelum melonggarkan sekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:06 PM