LEE Hsien Loong. FOTO fail AFP
LEE Hsien Loong. FOTO fail AFP
BERNAMA

Singapura: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pagi ini, menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Hospital Umum Singapura.

"Kes meningkat dengan cepat. Suntikan penggalak akan menguatkan lagi perlindungan anda terhadap Covid-19," tulis Lee di Facebooknya.

Lee yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 8 Januari lalu, turut memuat naik video beliau menerima suntikan itu.

Beliau berkata Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 mengesyorkan dos tambahan untuk mereka berusia 60 tahun ke atas, penghuni rumah orang-orang tua, dan individu yang mengalami masalah terimunokompromi (sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit).

"Warga emas yang lengkap dua dos vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan menerima SMS dengan pautan diberikan secara personal untuk membuat janji temu.

"Jika anda ditawarkan dos penggalak, silalah ambil. Ini akan mengurangkan peluang anda alami sakit yang serius, atau memerlukan rawatan ICU (unit rawatan rapi)," tulisnya.

Setakat 16 September, Singapura melaporkan sejumlah 910 kes baharu Covid-19 dengan 803 jangkitan dalam komuniti, 103 di asrama pekerja migran dan empat kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Singapura 837 kes kini ditempatkan di hospital, 77 kes memerlukan bantuan oksigen dan 12 lagi dirawat di ICU.

Seramai 82 peratus penduduk Singapura sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, manakala 84 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, setakat 15 September.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 11:39 AM