Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
BERNAMA

Washington: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan aktiviti ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara sebagai satu ancaman kepada masyarakat antarabangsa, kata Pentagon.

Pada Isnin, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Korea Utara menguji peluru berpandu jarak jauh jenis baharu pada Sabtu dan Ahad.

"Kami tahu mengenai laporan pelancaran peluru berpandu Korea Utara. Kami akan terus memantau rapat keadaan dan berunding dengan sekutu dan rakan kongsi kami, " lapor Sputnik menurut Jabatan Pertahanan AS pada Ahad.

Pentagon menambah bahawa aktiviti ketenteraan Korea Utara memperlihatkan "ancaman terhadap jirannya dan masyarakat antarabangsa" dan Washington tetap komited untuk mempertahankan Korea Selatan dan Jepun.

Peluru berpandu jarak jauh yang dilancarkan itu terbang sejauh 1,500 kilometer sebelum mencapai sasaran.

Menurut KCNA ujian tersebut berjaya dan mengambil masa dua tahun untuk persediaan dan penyelidikan. Pelancaran peluru berpandu itu turut disaksikan oleh pegawai kanan Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 12:29 PM