FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Pihak berkuasa China mengarahkan syarikat gergasi permainan Tencent dan NetEase untuk menghentikan tumpuan terhadap keuntungan dan menyekat imej watak lelaki yang dianggap sebagai 'lembut'.

Langkah itu adalah yang terbaharu oleh China untuk memperkukuh penguasaan mereka dalam sektor teknologi, yang menyebabkan saham di beberapa nama besar dalam industri itu merudum.

AFP melaporkan, pegawai memanggil syarikat permainan termasuk Tencent dan NetEase, dua peneraju dalam dunia permainan bernilai berbilion-bilion dolar di China pada Rabu, untuk berbincang lebih lanjut mengenai industri itu, yang diarahkan untuk mengehadkan masa permainan hingga tiga jam seminggu.

Antara isu baharu adalah imej watak lelaki dalam permainan dalam talian, yang mendapat perhatian kalangan pemimpin Parti Komunis.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa meminta penyiar untuk menolak 'nilai yang tidak normal' seperti 'lelaki lembut' dan meminta pihak berkenaan menampilkan individu dengan penampilan lebih maskulin.

Agensi berita rasmi Xinhua pada Rabu melaporkan keputusan terbaharu terhadap permainan dalam talian.

"Kandungan cabul dan ganas serta kecenderungan yang tidak sihat, seperti pemujaan wang dan watak lelaki yang lembut perlu dihapuskan," katanya.

Syarikat yang melanggar peraturan akan dihukum, menurut pihak berkuasa.

"Sasaran itu didorong persepsi dalam kalangan orang politik bahawa 'lelaki bangsawan secara fizikalnya lemah dan rapuh secara emosional'," kata profesor di Universiti Hong Kong, Geng Song, yang berpendapat lelaki 'feminin' tidak dapat mempertahankan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 4:50 PM