Sukarelawan menjalankan ujian calitan ke atas penduduk setinggan Khlong Toei di Bangkok. - FOTO AFP
Sukarelawan menjalankan ujian calitan ke atas penduduk setinggan Khlong Toei di Bangkok. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Bagi keluarga yang hidup dengan AS$150 (RM623) sebulan di kawasan setinggan terbesar di sini, ujian calitan Covid-19 dianggap satu kemewahan.

Setinggan Khlong Toei yang didiami 100,000 penduduk di kawasan kecil dan sesak, menjadi perhatian utama ketika Thailand kini sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19.

Berikutan itu, Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok, kini berusaha melancarkan ujian saringan secara besar-besaran bagi mengenal pasti kes dan membantu menghentikan Khlong Toei sebagai punca jangkitan ke seluruh bandar.

Menurut yayasan itu, programnya itu turut memberi jaminan katil hospital untuk kes positif, sesuatu yang sudah lama tertangguh.

Katanya, hampir 1,000 orang diminta melakukan ujian calitan dalam beberapa hari dengan hampir 50 orang didapati positif.

"Terdapat ramai orang yang tinggal di tempat sangat sesak dan terkurung. Dalam kebanyakan kes, ada 10 orang tinggal serumah yang berkelulusan 20 meter persegi, jadi jika seorang positif, yang lain akan turut dijangkiti Covid-19," kata pengasas bersama yayasan itu, Friso Poldervaart.

Katanya, kebiasaannya bagi individu yang didapati positif, mereka diberikan kit pengasingan di rumah, tetapi masalah timbul apabila mereka tidak dapat mengasingkan diri apabila kembali ke rumah.

"Sumbangan beras, jus manggis dan makan tengah hari percuma adalah antara insentif badan amal yang digunakan untuk menggalakkan penduduk yang ragu-ragu menjalani ujian calitan ini," katanya.

Sejak April, Thailand mengalami gelombang jangkitan ketiga yang teruk dengan lebih 1.3 juta kes dan 13,000 kematian.

Kerajaan juga mencatatkan prestasi ekonomi terburuk sejak krisis kewangan Asia 1997.

Sekatan pergerakan menyebabkan ramai orang kini menghampiri garis kemiskinan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

Selain ujian pengesanan, yayasan terbabit turut memberikan 3,000 pek makanan kepada penduduk setiap hari di samping membekalkan ubat-ubatan.

Anggota sukarelawan, Ekkachai Moolla yang sebelum ini bekerja sebagai kru penerbangan berkata, membantu yayasan itu membolehkannya menghadapi tempoh sukar ketika ini, di samping dapat menggunakan latihan perubatan asasnya yang dipelajarinya dengan baik.

"Saya tidak sabar menunggu masa untuk kembali bekerja, tetapi buat masa ini, saya seronok dapat membantu yayasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:46 PM