KEHIDUPAN seharian rakyat Afghanistan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu. FOTO EPA
KEHIDUPAN seharian rakyat Afghanistan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu. FOTO EPA
AFP

Kabul: Pemerintahan baharu Taliban mewajibkan penuntut wanita yang mahu menyambung pengajian di universiti swasta Afghanistan memakai jubah dan niqab.

Penuntut lelaki dan wanita juga perlu diasingkan dalam kelas berbeza atau sekurang-kurangnya dipisahkan dengan tirai.

Dalam dokumen yang dikeluarkan, pihak berkuasa pendidikan Taliban turut mengarahkan penuntut wanita hanya diajar oleh pensyarah wanita.

Bagaimanapun, jika tiada pensyarah wanita, lelaki berusia dengan 'perwatakan yang baik' boleh dipertimbangkan sebagai pengganti.

Peraturan sama terpakai untuk kolej swasta dan universiti yang banyak ditubuhkan sejak pentadbiran terdahulu Taliban berakhir pada 2001 susulan serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, gadis dan wanita sukar mendapatkan pendidikan berikutan peraturan kelas perlu dipisahkan antara wanita dan lelaki selain perempuan harus ditemani saudara lelaki setiap kali keluar dari rumah.

Bagaimanapun, tiada arahan untuk mewajibkan wanita memakai burqa dalam peraturan baharu yang dikeluarkan, sebaliknya hanya niqab yang menutupi sebahagian besar wajah dengan hanya mendedahkan mata.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, burqa dan niqab hampir tidak digunakan di Kabul dan hanya digunakan di beberapa bandar lebih kecil.

Arahan baharu Taliban itu dikeluarkan ketika universiti swasta dijangka dibuka semula.

Selain itu, peraturan baharu itu juga menetapkan penuntut wanita perlu mengakhiri pembelajaran lima minit lebih awal berbanding penuntut lelaki untuk mengelakkan pergaulan di luar batas.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 10:11 AM