VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Sinovac. FOTO fail AFP
Agensi

Pyongyang: Korea Utara meminta supaya tiga juta dos vaksin Covid-19 yang ditawarkan kepada negara itu diberikan kepada pihak lain, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang Jurucakap berkata, negara itu meminta dos itu dibekalkan ke negara yang lebih teruk terjejas, lapor BBC.

Vaksin Sinovac buatan China ditawarkan menerusi Program Perkongsian Vaksin Global (Covax) bertujuan untuk membantu negara miskin untuk mendapatkan vaksin.

Setakat 19 Ogos, tiada kes Covid-19 dilaporkan di Korea Utara, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan laporan sama, kira-kira 37,291 orang termasuk petugas kesihatan yang menunjukkan simptom seperti selesema sudah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif.

Negara itu sudah melaksanakan langkah kawalan ketat sejak penularan pandemik Covid-19. Ia antara negara terawal yang menutup sempadannya pada Januari tahun lalu.

BBC melaporkan ini bukan kali pertama Korea Utara menolak sumbangan vaksin.

Pada Julai, negara itu menolak penghantaran kira-kira dua juta dos vaksin AstraZeneca, dengan memberi alasan mengenai kemungkinan kesan sampingan, menurut badan pemikir Korea Selatan yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan negara.

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, pada Julai berkata, pihaknya beberapa kali pernah menawarkan untuk membekalkan vaksin Sputnik V kepada Korea Utara.

Korea Utara menzahirkan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin COvid-19, dengan media negara itu sering melaporkan insiden membabitkan individu di Amerika Syarikat dan Eropah yang mendapat kesan sampingan akibat suntikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 1:41 PM