Pekerja membersihkan troli di pasar raya di Bangkok sebagai persediaan pembukaan semula ekonomi bermula 1 September ini. - FOTO EPA
Pekerja membersihkan troli di pasar raya di Bangkok sebagai persediaan pembukaan semula ekonomi bermula 1 September ini. - FOTO EPA
Agensi

Bangkok: Suntikan penggalak bagi vaksin Covid-19 akan mula diberikan hujung bulan depan kepada hampir tiga juta warga Thailand yang sudah menerima dua dos suntikan.

Ketua Pengarah, Jabatan Kawalan Penyakit (CDC), Opas Karnkawinpong berkata, jawatankuasa Covid-19 di kementerian kesihatan bersetuju untuk memberikan suntikan penggalak itu antara September hingga Oktober nanti.

"Jenis vaksin yang akan diberikan bergantung kepada bekalan yang ada," katanya.

Sumber kementerian berkata, kemungkinan vaksin AstraZeneca dan Pfizer akan diberikan memandangkan pada masa itu, bekalan dari kedua-dua jenama itu mencukupi.

Katanya, daripada tiga juta individu yang bakal menerima dos penggalak itu adalah mereka yang menerima dua dos vaksin Sinovac sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Kiattiphum Wongrajit berkata, kes jangkitan Covid-19 dilihat semakin perlahan.

Katanya, jumlah penghunian katil juga dilihat semakin berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:19 PM