Kakitangan kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang wanita di Mueang, Pattani. - FOTO AFP
Kakitangan kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang wanita di Mueang, Pattani. - FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Thailand mencatatkan 256 kematian akibat Covid-19 dan 15,972 kes baru dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesilp Visanuyothin mengingatkan golongan berisiko dan wanita hamil untuk segera mendapatkan vaksin.

Ini kerana, jumlah wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 meningkat daripada 819 kepada 1,170 pada bulan ini.

"Wanita hamil mungkin menjadi sasaran utama serangan virus ini," katanya.

Kementerian Kesihatan mensasarkan untuk memberi suntikan kepada 500,000 wanita hamil namun, hanya 7.5 peratus sudah menerima dos pertama.

Angka berkenaan jauh ketinggalan berbanding 11 juta warga emas berusia lebih 60 tahun di mana separuh daripadanya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, menurutnya kerajaan akan melonggarkan beberapa sekatan di Bangkok dan 28 wilayah zon merah bermula Rabu ini.

Aktiviti makan di restoran akan dibenarkan namun ia mengundang rungutan daripada pengusaha restoran.

Antara rungutan yang diterima adalah syarat yang memerlukan semua pekerja menerima dos lengkap vaksin Covid-19 selain perlu menjalani ujian pengesanan setiap lima hingga tujuh hari.

Peraturan itu juga memerlukan pelanggan menunjukkan bukti sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 selain bukti ujian negatif sebelum memasuki restoran.

Dr Taweesilp berkata, pihak berkuasa kesihatan perlu mengenakan peraturan berkenaan bagi melindungi orang awam.

"Kita perlu melindungi semua orang, termasuk pelanggan dan mereka yang berada berhampiran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:56 PM