Seorang wanita memakai pelitup muka membeli barangan di Tajrish Bazaar di Tehran. - FOTO AFP
Seorang wanita memakai pelitup muka membeli barangan di Tajrish Bazaar di Tehran. - FOTO AFP
AFP

Tehran: Iran melaporkan lebih 680 kematian harian akibat Covid-19, angka tertinggi dicatatkan setakat ini.

Kementerian kesihatan berkata, 684 kematian yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan jumlah keseluruhan 102,038 individu maut setakat ini.

Iran juga merekodkan 36,419 kes baru menjadikan keseluruhan kes jangkitan mencecah 4.77 juta.

Pegawai kesihatan menyedari bahawa angka yang dikeluarkan adalah lebih rendah berbanding jumlah sebenar.

Minggu lalu, Iran melaksanakan sekatan pergerakan selama enam hari yang berakhir semalam termasuk penutupan bangunan kerajaan, bank dan kedai bukan barang keperluan.

Larangan perjalanan menggunakan kenderaan peribadi ke wilayah lain masih berkuatkuasa sehingga 27 Ogos ini.

Sehingga kini, Iran masih belum melaksanakan sekatan pergerakan penuh sebaliknya hanya mengambil langkah lebih kecil seperti larangan perjalanan dan penutupan perniagaan.

Sejak akhir Jun lalu, Iran sudah menghadapi 'gelombang kelima' jangkitan, yang paling teruk setakat ini, berpunca daripada varian Delta.

Angka harian bagi jangkitan dan kematian mencatatkan beberapa rekod tertinggi bulan ini.

Ia memulakan program vaksinasi sejak Februari lalu namun, pelaksanaannya terlalu perlahan.

Berikutan sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), Iran berdepan masalah memindahkan wang ke luar negara menyebabkan usaha mengimport vaksin lebih sukar.

Dengan jumlah 83 juta penduduk, lebih 16.7 juta individu sudah menerima dos pertama vaksin, namun hanya 5.8 juta sudah menerima dos kedua, kata kementerian kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 8:09 PM