NICOLE Smith-Ludvik berdiri di atas puncak Burj Khalifa. FOTO Agensi
NICOLE Smith-Ludvik berdiri di atas puncak Burj Khalifa. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Syarikat penerbangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates melancarkan iklan yang diambil di atas puncak bangunan tertinggi dunia.

Iklan berdurasi 30 saat itu menampilkan Nicole Smith-Ludvik, seorang tenaga pengajar payung terjun profesional sebagai anggota kru kabin Emirates yang berdiri di atas puncak Burj Khalifa.

Di tangannya, dia memegang poster berbunyi 'Memindahkan UAE ke senarai ambar (kuning jingga) UK membuat kita berada di puncak dunia. Terbang Emirates. Terbang lebih baik.'

Walaupun penonton pada awalnya tidak dapat melihat di mana Smith-Ludvik berdiri, kamera kemudian menunjukkan bahawa wanita itu sebenarnya berada di atas puncak Burj Khalifa.

Burj Khalifa di Dubai adalah bangunan tertinggi di dunia pada ketinggian 829.67 meter.

Walaupun video itu tular di media sosial dengan konsep inovatifnya, sebahagian netizen meragui kesahihannya.

Beberapa pengguna Twitter menuduh Emirates menggunakan skrin hijau untuk memfilemkan iklan itu dan bukannya naik ke puncak Burj Khalifa.

Bagaimanapun, Emirates menerusi Twitter itu menjawab tuduhan itu.

Syarikat penerbangan itu berkongsi video belakang tabir yang menunjukkan iklan berkenaan sebenarnya difilemkan di atas puncak bangunan berkenaan.

Penggambaran di puncak memerlukan perancangan yang ketat dan protokol keselamatan yang ketat, kata Emirates.

"Dari tingkat 160, kami 'naik' selama lebih satu jam untuk mencapai puncak," jelas syarikat penerbangan itu dalam videonya.

Dalam satu kenyataan, Emirates menjelaskan terdapat beberapa calon yang bersedia dan berkemampuan, sebelum seorang tenaga pengajar payung terjun profesional dipilih sebagai model.

Ia untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi.

Untuk penggambaran di bahagian atas puncak Burj Khalifa, platform khas dengan tiang dibina untuk pelakon wanita itu berdiri.

"Dia dilekatkan pada tiang serta dua 'point' lain, melalui tali pinggang yang tersembunyi di bawah seragam Emirates," kata Emirates.

Penggambaran untuk iklan bermula pada waktu matahari terbit dan ia mengambil masa kira-kira lima jam untuk diselesaikan.

Ia tidak termasuk satu jam 15 minit yang diperlukan untuk pasukan naik ke puncak bangunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:01 AM